Program Utama
Home » Program Utama
Merupakan satu usaha kecil PORT untuk mengenalpasti, mengumpul dan menyimpan maklumat dan data berkaitan seni dan budaya yang berkaitan dengan negeri Perak. Tiga kategori utama iaitu seni visual, muzik dan seni persembahan yang merentas zaman, dari tradisional hinggalah kontemporari, yang memberi sumbangan kepada dunia seni dan budaya tanah air mahupun antarabangsa akan diberi tumpuan.
Ipoh International Art Festival (IIAF) merupakan sebuah festival yang melibatkan pelbagai bentuk seni dan budaya,dimana penggiat seni dan kolektif dari Malaysia dan luar negara diundang untuk menyertai, mempamerkan danmenunjukkan kreativiti dan idea masing-masing.
IIAF adalah program yang mempersembahkan pameran seni yang dipilih antaranya dalam bentuk lukisan, cetakan, seni instalasi, audio visual dan persembahan seni dengan menekankan pelbagai gaya dan elemen kontemporari.
Ipoh Music Symposium (IMS) adalah untuk mengumpul input dan pelbagai perspektif mengenai bidang muzik melalui pembentangan makalah oleh panelis jemputan bagi membuka perbincangan dan kesan seni muzik ke atas masyarakat khususnya generasi muda dari sudut sosial, politik, sejarah, estetik, budaya, agama dan ekonomi. Pada tahun 2019 IMS telah membawa dan membincangkan mengenai Muzik Independen, pada tahun 2020 Rock Kapak dan pada tahun 2021 pula bertemakan Muzik Nusantara: Menelurasi Tradisi dan Kontemporari.
Muzik Nusantara merupakan muzik popular berlandaskan indentiti Nusantara yang terpengaruh dengan gelombang globalisasi. Ia disajikan dengan bentuk dan imel ‘kenusantaraan’ yang berjaya menambat hati pendengar yang mahukan pembaharuan. Proses pencarian serta pembentukan indentiti muzik Melayu ini diteruskan dengan muzik yang dikategorikan sebagai “Irama Malaysia” dan “Etnik Kreatif”.
PORTFOLIO & PORTSKOOL merupakan bengkel perkongsian berkenaan seni dan budaya yang dianjurkan untuk menggalakkan perkongsian dan percambahan ilmu berkaitan seni, budaya dan warisan berbentuk bicara, forum, pembentangan bengkel mahupun sesi penceritaan dengan penglibatan para tokoh seni dan budaya, selebriti dan golongan akademik.
Program berbentuk modal insan ini adalah penting untuk memberi pencerahan kepada para peserta tentang kepentingan seni dan budaya di dalam sesebuah masyarakat yang sedang berkembang. Memandangkan seluruh negara telah mengalami wabak Covid-19, PORT mengambil inisiatif untuk mengadakan program ini secara dalam talian melalui media sosial PORT.
PORTCAST merupakan salah satu program anjuran PORT di bawah Arkib Muzik Perak yang berkonsepkan sembang santai bersama tokoh-tokoh, artis dan penggiat seni muzik yang berasal dari negeri Perak. Seperti mana yang sedia maklum bahawa negeri Perak mempunyai sejumlah besar seniman yang bergiat aktif dalam bidang muzik dalam pelbagai genre.